Untuk mereka yang membeli secara order : Serah duit dulu barang terima kemudian , ini disebut jualbeli salam. Ini garis panduannya.
JUAL SALAM
Perkataan salam itu asal maknanya serah atau tangguh, maksudnya disini iaitu menjual sesuatu barang yang disifatkan kepada tanggungan seseorang yakni jual secara pesanan pada masa sekarang orang sebut order.
Rukun jual secara pesanan ini adalah 5 perkara:-
Pertama: Muslim (pemesan).
Kedua: Muslim ilaih (penerima pesanan).
Ketiga: Muslim fih (barang yang dipesan).
Keempat: ra’su mal (modal atau harga).
Kelima: siqah (ijab dan qabul).
Segala syarat pada jual beli: disyaratkan juga pada jual salam ini melainkan syarat melihat tidak disyaratkan padanya.
Lafaz ijabnya seperti: “saya serahkan kepada anda duit untuk bagian-bagian”. Jawab oleh penerima pesanan (qabul) “saya terima”.
Atau dengan ibarat yang lain: “saya serahkan kepada anda 2 dirham ini untuk dapatkan saya 2 ela kain sutera siam warna ungu”. Jawab penerima pesanan: “saya terima”. Dan ia pun qibad 2 dirham itu, lepas itu boleh ia bawa barang itu terus atau bertangguh dengan suatu masa.
Disyaratkan pada barang yang dipesan itu 5 syarat:-
Pertama: Barang ituboleh diketahui dengan sifatnya mengikut kehendak pemesan sekira-kira tidak disifatkan dengan sifat yang jarang didapati seperti lulu’ yang besar atau jariah dengan adiknya atau dengan anaknya jika demikian tiada sah salam.
Kedua: Barang itu bukan daripada jenis yang bercampur dengan jenis yang lain sekira-kira tidak dapat dipisahkan jika hendak diketahuikan juzuk-juzuknya seperti harisah, ma’jun dan lain-lain, jika demikian tiada sah salam.
Ketiga: Barang itu bukan daripada jenis makanan dimasak dengan api umpama daging jika hendak dimakan kena gulai, atau digoreng atau dipanggang jika demikian tidak sah salam, kecuali jika barang itu dibakar atau dipanaskan untuk hendak membezakan antara satu dengan yang lain itu tidak mengapa seperti dipanaskan sarang lebah untuk mengasingkan madu dengan lilinnya yang demikian itu sah salam.
Keempat: Barang itu bukan darpada barang yang ada di hadapan mata malahan ia hutang yakni tidak ada ditempat akad cuma disifatkan sahaja dalam tanggungan penerima pesanan, maka jika ditentukan kepada penerima pesanan seperti katanya: “saya pesan kepada anda kain ini dengan 1 dirham ini” jawapnya: “saya terima”, tidaklah jadi salam dan tidak jadi jual beli yang demikian akad itu tidak sah.
Kelima: Bukan barang itu daripada tempat yang tidak kekal adanya seperti sekejap ada dan sekejap putus. Kalau pemesan berkata: “saya pesan kepada anda dengan 10 ringgit ini untuk dapatkan saya 5 kilo kurma Kampung Badar”. Jawab penerima pesanan: “saya terima”, nescaya tidak sah kerana kampung itu sebuah kampung yang kecil boleh jadi putus adanya dengan sebab bencana.
Adalah ditegaskan lagi iaitu pada barang yang dipesan itu selain daripada jenisnya dan macamnya:-
Pertama: hendaklah disifatkan dengan sifat yang boleh jadi harganya berlain-lain seperti salam sahaya hendaklah disebutkan laki-laki, perempuan, umur lebih kurang, tinggi, rendah, sederhana dan warnanya. Demikian jua pada lembu, kambing dan lain-lain.
Kedua: disebutkan kadarnya dengan sukatan atau timbangan atau bilangan.
Ketiga: sebutkan masa yang boleh dapat diterima barang itu seperti sebulan atau seumpamanya pada salam yang ditangguhkan. Maka jika ditangguhkan masanya dengan datang zaid umpamanya tidak sah salam itu kerana tiada diketahuikan bila masanya ia datang.
Keempat: hendaklah barang itu mewujud (ada) pada qalibnya apabila dikehendakkan. Maka jika dipesan sesuatu barang yang tidak boleh ada ketika dikehendakkan pada qalibnya seperti buah buah kurma jenis ratob ketika musim sejuk tiadalah sah salam itu.
Kelima: disebutkan tempat menerima barang itu jika tempat ia berakad itu tidak layak jadi tempat menerima seperti tengah laut atau dalam hutan atau hendak pergi ke tempat itu kena belanja.
Keenam: diketahuikan qadar harganya, jenisnya dan sifatnya yang di dalam tanggungan atau dilihatnya jika harga itu ditentukan.
Ketujuh: ada qibad antara pemesan dan penerima pesanan pada harga dalam tempat akad sebelum keduanya berpisah, maka jika berpisah keduanya sebelum terimaan harga itu nescaya batal akadnya.
Sekiranya diterima separuh dan yang separuh lagi belum diterima ada dua pendapat ulama, ada mengatakan tak sah semua sekali, manakala setengah ulama yang lain berpendapat sah pada yang baqi, qul ini lebih dekat dengan yang sebenar.
Yang dimaksudkan dengan qibad itu ialah qibad hakiki. Maka jika pemesan itu memindahkan (hiwallah) harga itu kepada orang lain dan diterima olehnya dalam tempat akad itu juga nescaya tidak memadai kerana hiwallah itu bukan qibad hakiki.
Kelapan: bahawa akad salam itu tidak boleh dimasukkan kedalamnya khiyar syarat kerana harganya tidak boleh ditangguhkan tetapi boleh khiyar majlis.
Credit: Ust Rafidi Hashim